Sunday, July 31, 2005

Tidak masuk syurga jika menyakiti jiran

KONSEP kejiranan dalam Islam meliputi juga jiran yang tinggal jauh, Muslim atau bukan Muslim dan keluarga atau bukan keluarga.

Orang yang tinggal serumah dengan kita, orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 rumah dari rumah kita dan orang yang tinggal satu negeri juga dikira sebagai jiran dalam Islam.

Menurut Jabir, Rasulullah SAW mengkategorikan jiran kepada tiga iaitu jiran yang mempunyai tiga hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai satu hak.Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran Muslim yang mempunyai hubungan keluarga. Tiga hak yang ditentukan kepada jiran ini ialah hak Islam, jiran dan keluarga.Jiran yang mempunyai dua hak pula ialah jiran Muslim iaitu hak Islam dan jiran. Sementara jiran yang mempunyai satu hak ialah zimmi iaitu orang kafir yang berada dalam naungan Islam. Satu hak yang ditentukan kepada jiran ini ialah hak jiran semata-mata.

Hak jiran
Apakah hak jiran? Rasulullah tidak lupa memberitahu kepada kita mengenai hak jiran, malah menerangkan dengan terperinci. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tahukah kamu apakah hak seorang jiran itu? Jika dia meminta tolong hendaklah kamu menolongnya. Jika dia susah, hendaklah kamu bermurah hati kepadanya dan jika dia sakit hendaklah kamu merawatnya.“Jika dia mati, hendaklah kamu menghantar jenazah ke pusara. Jika dia mendapat kebaikan, hendaklah anda turut gembira bersamanya dan jika dia mendapat kesusahan, hendaklah anda turut berasa susah.

“Perlu ingat, jangan meninggikan bangunan rumahmu sehingga menahan angin ke rumahnya, melainkan dengan izinnya. Jangan menganiaya atau mengacaunya.“Jika anda membeli buah-buahan berilah sedikit kepadanya.

“Jika anda enggan memberi maka hendaklah anda membawa masuk ke rumah dengan tidak menampakkannya kepada mereka. Jangan membenarkan anakmu memakannya di luar rumah, sehingga menimbulkan kemarahan anak-anaknya. “Jangan mengganggu mereka dengan bau periuk anda (makanan yang sedang dimasak) kecuali jika anda memang berniat memberi mereka sedikit.

“Tahukah kamu apakah hak jiran? Demi jiwaku yang berada di dalam genggaman-Nya, tiada siapa yang mampu memenuhi hak seorang jiran, kecuali orang yang telah mendapat rahmat daripada Allah.”Berdasarkan maksud sabda Rasulullah, ada 12 hak jiran yang mesti diberi keutamaan.

Hak itu adalah tuntutan yang bukan saja menjadi ibadat jika dilakukan kerana Allah dan rasul-Nya, tetapi mampu untuk membentuk budi pekerti mulia dan menyelamatkan seseorang Muslim daripada api neraka.Abu Hurairah menerangkan fenomena ini pernah diberitahu kepada Rasulullah mengenai seorang perempuan yang bersembahyang pada waktu malam dan berpuasa pada waktu siang.Malangnya, lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya, maka Rasulullah bersabda: “Tiada kebaikan kepada wanita itu dan tempatnya adalah di dalam neraka.”