Tuesday, August 24, 2004

Bazigha dan Ketampanan Yusuf


Permulaannya adalah sebuah kekaguman. Seorang wanita jelita kaya raya terpesona dengan keindahan Yusuf alaihissalaam yang sentiasa menjadi buah mulut orang ramai. Rasa kagum tersebut membawanya menemui sang pujaan. Mata menjadi silau dan bibir pun menjadi kelu; sorot mata yang dipuja menghujani kalbu sehingga kata-kata tidak dapat melukiskan sebuah ketakjuban.


Bazigha, demikianlah nama wanita tersebut, telah jatuh pingsan dibuai pesona dan keindahan Yusuf. Selepas puncak keterpesonaannya, Bazigha bangun dan berlutut seraya memuja ketampanan dan keindahan Yusuf.

Yusuf melangkah mendekati Bazigha. Diringi senyumannya yang menawan Yusuf menasihati Bazigha, "Ketika matamu melihat keindahan dunia ini, sesungguhnya itu adalah percikan tanda (ayat) tentangNya.. Makhluk yang indah hanyalah sekuntum bunga nan mekar di sebuah taman Allah yang luas tidak bertepi. Jika matamu mampu melihat di sebalik kesempurnaan itu, tentulah engkau akan melihat bahawa kuntum bunga itu tak lain hanyalah cermin yang memantulkan gambaran wajahNya."

"Begitulah Bazigha," Yusuf melanjutkan kalimatnya yang menghentak kesedaran si jelita, "penampilanku pada hakikatnya adalah bagaikan kuntum bunga itu; pantulan wajah ilahi. Namun engkau mesti menyedari bahawa gambar akan memudar, kuntum bunga akan beranjak layu dan pantulan cermin pun akan tertutup oleh Cahaya ilahi. Hanya Allah sajalah yang hakiki dan abadi".

"Untuk itu, duhai Bazigha ... mengapakah engkau buang waktumu untuk mengagumi sesuatu yang akan lenyap dan pudar. Pergilah langsung ke yang Sumber tanpa berlengah lagi."

Bazigha terpegun. Mungkin dia terkejut mendapati bahawa badan yang sempurna di hadapannya ternyata tidaklah hakiki; hanya sekuntum bunga yang akan layu dan pantulan cahaya yang tertutup oleh kebesaran Maha Cahaya; Cahaya di atas cahaya (nur 'ala nur).

Mungkinkah kita seperti Bazigha. Kita terpesona pada hal-hal yang tidak hakiki. Lihatlah diri kita ... betapa kita terpesona dengan gelaran akademik yang kita miliki, harta dan anak yang menemani kita, isteri cantik yang melayani kita bahkan status dan pangkat yang menjadi kejaran kita.

Seperti Yusuf yang menasihati Bazigha, mengapakah kita tidak langsung berjalan menuju sumber segala pesona. Mengapakah kita menghabiskan waktu kita hanya untuk mengejar kenikmatan kuntum bunga yang akan layu. Lepaskan ego diri kita, buanglah rasa takjub kita, dan berjalanlah ke hadapan menujuNya.

Mungkin pada penghujung perjalanan nanti, kita akan terkejut melihat keindahan-Nya yang hakiki nan abadi. Pada mulanya adalah kekaguman; dan pada akhirnya adalah Subhanallah! Maha Suci Allah!

ps: dipetik dari pewaris.com